Wednesday 28 May 2014

Hargai Hari Anda



Assalamualaikum. Alhamdulillah, selawat serta salam ke atas Rasulullah s.a.w, keluarga dan para sahabat baginda.

Masa berlalu pantas. Masa sangat penting dalam kehidupan kita cuma saja saya yang banyak membuang masa. Ikutkan rasa malas, tau saja masa berlalu begitu sahaja. Saya selalu mendengar ungkapan bahawa masa adalah emas. Masa merupakan umur kita, setiap masa yang berlalu adalah umur kita yang berlalu dan masa hadapan menjadi impian kita. Saya selalu berfikir tentang masa depan saya bagaimana nanti saya selepas lima tahun, sepuluh atau dua puluh tahun. Ataupun itu semua menjadi angan-angan panjang kerana mati tidak dapat diketahui masanya.

Bagi saya orang islam memiliki lima waktu penting setiap hari. Waktu yang menandakan masa untuk saya solat, lima waktu sehari. Masa pada kehidupan manusia saya rasa terbahagi kepada tiga skop yang besar: 

            1.      Masa yang telah lepas.
2.      Masa sekarang.
3.      Masa hadapan.



      Saya akan kongsikan apa yang saya rasakan dalam perkara ini dan saya harap jadi pengajaran buat saya dan anda yang membaca juga. Imam Ghazali pernah memberitahu muridnya bahawa benda yang paling jauh dengan kita adalah masa yang telah lepas. Sesaat yang baru sahaja berlalu tidak mungkin akan kembali kepada kita bahkan semakin menjauh. Terkadang saya menyesali masa sekolah dulu tidak belajar bersungguh dan mendapat keputusan yang baik dalam SPM sehingga saya terpaksa sambung persekolahan ke tingkatan enam menduduki peperiksaan STPM. Walau sejauh mana sesalan saya tidak dapat mengubah masa lepas.

Seterusnya seperti yang saya kata tadi saya turut memikirkan soal masa depan. Ada masanya takut juga andai masa depan tidak memihak kepada saya. Sepatutnya saya berharap kepada Allah s.w.t kerana Dia yang Maha Berkuasa. Merancang masa depan sesuatu yang baik, apa yang tidak baik adalah takut kepada masa depan yang belum pasti itu. Lebih-lebih lagi pemikiran itu memberi kesan buruk kepada kita dari segi tekanan. Itu sesuatu yang perlu dielak.

Inilah apa yang ingin saya sampaikan. Masa sekarang. Ya, masa sekarang. Masa sekarang ini saya sedang menulis artikel ini dan masa sekarang ini yang anda sedang membacanya. Inilah kenyataan kita. Kalau saya ingin melakukan sesuatu yang baik sekarang inilah. Bukan menuggu selepas ni, esok, minggu depan dan entah bila. Masa sekarang inilah bukannya saya sibuk menyalahkan sebelum ini, kenapa dulu saya tidak melakukan itu dan tidak membuat ini. Saya, anda dan semua perlu menggunakan masa sekarang sebaiknya. Gunakan untuk belajar, cari ilmu, bantu ibu bapa keluarga, bantu orang yang memerlukan, beribadah dan bermacam kebaikan lagi. Pilihan ada pada diri kita.

Sikap buruk kita terhadap masa adalah menyesali masa lampau yang telah kita lalui dan risau dengan masa depan yang kita tidak pasti. Sama-sama kita jadikan hari ini lebih baik dari semalam  dan pastikan esok lebih baik dari hari ini. Masa merupakan usia yang diberikan pada kita dan akan disoal di akhirat sana. Tentang usia saya untuk apa saya luangkan, kebaikan atau maksiat. Masa sekarang, masa sekaranglah untuk kita mulakan perubahan kearah yang baik dan lebih baik.
Semalam adalah kenangan, esok suatu harapan dan hari ini adalah kenyataan.
 

Read more ...

About

Like Us